Aku nak share sedikit maklumat dan makluman kepada sesiapa yang merasa dirinya adalah mahasiswa generasi sekarang:
Menerima surat tawaran untuk melanjutkan pengajian di institut
pengajian tinggi adalah impian kebanyakan remaja yang bercita-cita
tinggi.
Apatah lagi surat tawaran datang dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam yang tersohor dan ternama.
Gaya hidup sebagai mahasiswa penuh prestij dan bergaya terbayang di
mata. Namun, di sebalik itu semua, pernahkah terlintas di fikiran
tentang kesukaran dan cabarannya?
1. RM... Ringgit Malaysia & Rungsingnya Mahasiswa
Secara zahirnya, bagi mahasiswa yang datang dari
keluarga yang kurang mampu, isu kewangan adalah masalah yang paling
utama. Bagi yang datang dari keluarga yang berkemampuan, wang kiriman
FAMA (Father & Mother) dijadikan sumber kewangan tambahan di samping wang pinjaman PTPTN atau penaja lain.
Jika lebih bernasib baik, abang dan kakak yang telah bekerja boleh
dicuit untuk membantu. Masalah kewangan adalah masalah umum mahasiswa.
Kos sara hidup yang meningkat seperti sewa rumah atau bilik, kos
makanan dan minuman, pengangkutan dan kos membeli peralatan pengajian
adalah congakan yang diambil kira dalam merancang perbelanjaan.
Jika ada
wang, nasi lengkap dengan lauk pauk menjadi pilihan. Kurang wang
bererti roti dan mee segera menjadi makanan ruji.
Berat untuk diakui, tetapi itu realiti. Masalah kewangan menjadi
salah satu tekanan yang berat dan memberi kesan kepada prestasi akademik
mahasiswa.
2. Kitaran Hidup Mahasiswa
Lazimnya pengajian di universiti meliputi aktiviti-aktiviti yang
rutin dan formal. Kuliah demi kuliah diikuti dengan senarai tugasan yang
menyesakkan dada. Kuiz, ujian dan peperiksaan akhir adalah medan
menguji sejauh mana kemampuan mahasiswa menghadam pengajian.
Bagi yang aktif sedikit akan terlibat dengan persatuan, sukan dan
badan beruniform. Setidak-tidaknya untuk memenuhi keperluan markah bagi
kokurikulum.
Dari sudut akademik, timbul persoalan, adakah pengajian formal yang
diikuti mengikut bidang masing-masing mampu mematangkan minda dan
personaliti mahasiswa?
Mampukah ilmu yang dipelajari dapat dijadikan sandaran untuk
mahasiswa menempatkan diri dalam alam pekerjaan. Mengapa terdapat
mahasiswa yang gagal dalam usaha mencari pekerjaan yang sesuai dan
terpaksa mengambil keputusan menganggur?
3. Pasaran Pekerjaan : Merebut Atau Direbut
Cabaran dalam dunia global menuntut agar majikan merekrut
pekerja yang benar-benar berkualiti jika ingin syarikatnya kekal dan
bertahan. Kualiti mahasiswa yang diinginkan oleh majikan hari ini bukan
setakat pencapaian 4.00 CGPA dan deretan keputusan 'A' bagi setiap
subjek dalam transkrip akademik.
Sebaliknya kebanyakan majikan mahukan graduan yang berketrampilan,
mudah menyesuaikan diri, kreatif dan kritis serta mampu berdikari.
Majikan kini bukan mahukan pekerja yang taat membuta tuli dan bersikap 'yes-man'.
Mereka mahu pekerja yang bukan setakat mampu bekerja tanpa pengawasan
yang terlalu kerap tetapi juga mampu menyelesaikan masalah dan membuat
keputusan yang bijak dan wajar.
Bagaimana mahasiswa dapat memenuhi kriteria-kriteria extra-ordinary
seperti ini? Pengajian formal di bilik kuliah tidak menyajikan
pengetahuan seperti ini. Sekadar bergantung kepada modul-modul dan
satu-dua buku rujukan tidak mencukupi untuk membentuk bakal pekerja yang
berkualiti.
Belajar bersendirian dalam karel-karel perpustakaan dan tidak
bercampur dengan mahasiswa lain dalam perbincangan ilmiah harus
dielakkan. Menjadi 'passanger' dalam pelaksanaan tugasan berkumpulan
tidak harus diamalkan.
Konsep dan teori yang membicarakan tentang ciri-ciri dan personaliti
pekerja yang ideal dicatat dalam pelbagai jenis buku pengurusan.
Pelbagai jenis buku motivasi membanjiri pasaran buku yang boleh
dijadikan rujukan.
Namun semua itu sekadar konsep dan teori. Mahasiswa sendiri harus
berusaha mengubah 'mind-setting' dengan mengubah sikap dan cara hidup.
Mahasiswa harus mengubah diri dengan rajin mengetengahkan diri dalam
kerja berpasukan.
Dengan bimbingan para pensyarah melalui diskusi ilmu dan makluman am
secara tidak formal, mahasiswa mampu memahami bagaimana pendekatan yang
sesuai untuk dirinya dalam menganalisis dan merungkai permasalahan.
Mahasiswa boleh belajar dengan para pensyarah secara tidak formal
untuk berfikiran kritis dan berfikir tahap tinggi. Dengan mengambil
pandangan dari rakan-rakan sekuliah, mahasiswa sudah boleh membentuk
personaliti dan pendekatan komunikasi yang sesuai untuk dilihat lebih
berketrampilan.
Dengan bantuan rakan-rakan sekuliah, mahasiswa boleh mengambil
kesempatan belajar bahasa asing terutama bahasa Inggeris dan cuba
menguasainya.
Mulakan langkah pertama untuk melaksanakannya dan menguasainya. Semua itu akan menjadi sesuatu yang 'extra-ordinary' jika anda berada dalam kedudukan calon temuduga pekerjaan bukan?
Bukankah berat cabaran yang harus dilalui sebagai mahasiswa? Sudahlah
terpaksa bersaing diperingkat sekolah dengan berusaha
bersungguh-sungguh untuk menjadi warga kampus.
Setelah menjadi warga kampus, cabaran besar menanti mahasiswa adalah persoalan 'how to survive'. Mahasiswa menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan diri
bergraduat dan membawa pulang ijazah dan transkrip yang merupakan impian
diri dan harapan keluarga.
Perjuangan lebih getir bakal menanti mahasiswa yang berjinak-jinak
mengintai peluang pekerjaan adalah sukarnya untuk mendapat perhatian
bakal majikan untuk satu jawatan.
4. Cabaran Sebenar Mahasiswa.
Di sebalik semua cabaran yang tersurat ini, cabaran tersirat yang
dihadapi oleh semua mahasiswa adalah cabaran untuk menangkis pelbagai
tanggapan negatif masyarakat terhadap mahasiswa.
Jika suatu ketika dahulu, mahasiswa dianggap sebagai satu kelompok
masyarakat yang elit dan dipandang tinggi. Dahulu mahasiswa menjadi
idola dan contoh oleh pelajar-pelajar di bangku sekolah.
Ibu-bapa menjadikan mahasiswa sebagai role-model dan mahukan anak-anak mereka meraih gelaran yang
sama suatu hari nanti. Menjadi budak 'U' adalah satu pengiktirafan yang glamour dan berprestij. Bagi remaja lelaki ketika itu, gelaran budak 'U' dijadikan saham untuk menarik perhatian gadis pujaan.
Tetapi entah di mana silapnya, segelintir mahasiswa generasi kini
menjadi bahan tohmahan dan cacian. Mengapa masyarakat setempat selalu
mengaitkan mahasiswa dengan kes buang bayi, maksiat, khalwat dan
pergaulan bebas? Mengapa mahasiswa generasi sekarang dianggap sebagai
manja, tidak mampu berdikari, gemarkan hiburan, mensia-siakan waktu dan
suka bergaya?
Mahasiswa berhadapan dengan cabaran yang sukar, iaitu cabaran untuk
menghadapi diri sendiri. Berusaha mendisiplinkan diri, menguruskan diri
sendiri dan berdikari serta kemampuan untuk memilih rakan yang betul
adalah pendekatan pembetulan yang mudah.
Dunia mahasiswa adalah dunia yang bebas. Walaupun terikat dengan
jadual kuliah dan tugasan, waktu selebihnya adalah bergantung kepada
kebijaksanaan dan budi bicara mahasiswa berkenaan untuk menguruskan diri
dan masa.
Mahasiswa yang intelek adalah mahasiswa yang bijak mengambil ruang
dan peluang untuk mencari rakan yang boleh membimbing. Mahasiswa
seharusnya bijak mengambil peluang bukan setakat untuk menuntut ilmu
sebagaimana yang ditetapkan dalam silibus, tetapi meningkatkan
penguasaan ilmu agama. Mahasiswa seharusnya menjadikan al-Quran dan
Sunnah sebagai panduan hidup.
Pengamalan Islam sebagai cara hidup dapat membantu mahasiswa
mengelakkan diri dari terjebak dengan pergaulan bebas dan aktiviti lain
yang membuang masa dan sia-sia.
Bergaul dengan rakan-rakan boleh membimbing dan menggalakkan kita
aktif dalam program-program keagamaan yang membantu membentuk
ketrampilan diri. Selain dari itu, penghayatan dan pengamalan ajaran Islam dalam kehidupan seharian dapat membantu mahasiswa membina hubungan
yang erat dengan keluarga, rakan sepengajian dan para pensyarah.
Hubungan erat sebegini bukan sahaja dapat meningkatkan sokongan moral
dari semua pihak malah menambahkan keberkatan ilmu yang diperolehi.
Insya-Allah.
SUMBER:
Mahasiswa sekarang tak macam zaman sulu.cabaran bermacam-macam...
ReplyDelete@ZAZAN- Aah betul tu.. kdg2 risau jugak bile memikirkannye
ReplyDelete